Posted by
بنت راحانا
Terdapat dua ekor itik dan seekor kura-kura yang bersahabat baik  tinggal di suatu kawasan yang semakin kering dek kemarau panjang.  Binatang-binatang yang bermastautin di situ telah lama meninggalkan  tempat tersebut memandangkan semakin hari semakin sukar untuk  mendapatkan makanan dan minuman. Semua kolam kering dan tumbuh-tumbuhan  semakin kekuningan dimamah sinaran mentari yang hangat membahang.
Disebabkan keadaan semakin mendesak, maka dua ekor itik itupun telah  berpakat dan mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan yang lebih  lembab dan berair. Kura-kura berasa risau memandangkan sahabat baiknya  ingin meninggalkan tempat tersebut. Dengan keadaannya yang bergerak  lambat dan tidak boleh terbang seperti mereka, agak mustahil untuk  dirinya mengikuti jejak langkah mereka. Maka dia pun berkatalah kepada  kedua-dua ekor itik tersebut.
"Kalian hendak berpindah, nanti aku akan mati kekeringan di sini. Aku  tidak mampu terbang mengikutimu mencari tempat yang lebih baik. "
"Hmmm.. betul juga kata kamu Si Kura-Kura. Owh, tidak mengapa jika  kamu mahu, kami boleh membantu kamu untuk sama-sama berpindah," ujar  salah seekor itik tersebut setelah berfikir seketika.
"Bagaimana?" balas kura-kura kembali.
"Kami berdua akan menggigit sebatang kayu dan kamu juga mesti  menggigit kayu itu untuk sampai ke destinasi kita dengan selamat.  Bagaimana, kamu setuju?" Soal itik.
"Owh, kalau begitu aku setuju," kura-kura memberi persetujuan tanpa berbelah bagi.
Maka terbanglah kedua-dua ekor itik itu mencari tempat tinggal baru  bersama kura-kura. Tiba-tiba sedang melalui suatu kawasan, ada beberapa  orang budak nakal yang mengejek kura-kura.
"Hei kura-kura! Ada hati nak terbang tinggi. Engkau tu dah memang  semulajadinya tidak boleh terbang, ada hati nak terbang tinggi macam  itik. "
Kura-kura berasa geram dan marah dengan ejekan tersebut, tetapi dia  masih tidak berkata apa-apa kerana dia tahu jika dia membuka mulut pasti  dia akan terjatuh.
Kedua-dua itik tersebut terus terbang meninggalkan mereka tanpa  mempedulikan ejekan budak-budak itu. Setelah penat terbang mencari  destinasi impian, mereka melalui satu lagi kawasan yang dipenuhi dengan  budak-budak yang sedang bermain. Mereka begitu kagum dengan keberanian  dan kesungguhan kura-kura.
"Kura-kura, kami kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kamu.  Walaupun kamu tidak boleh terbang, tetapi kamu berusaha dengan gigih dan  mahu ditolong oleh sahabat-sahabat mu, " jerit mereka kepada kura-kura.
Disebabkan teruja dengan pujian budak-budak tersebut, maka kura-kura pun membuka mulutnya untuk menjawab pujian budak-budak itu.
'ALHAMDULILLAH, aku ingin pergi ke tempat yang lebih baik dan berair bersama itik-itik"
Sebelum sempat menghabiskan kata-katanya, maka jatuhlah kura-kura itu ke atas tanah dan berkecailah badannya.
Begitulah berakhirnya kisah Itik dan Kura-Kura. Apabila dikeji,  dihina, kura-kura begitu kuat tetapi kura-kura yang dulu bersemangat  kental akhirnya mati menyembah bumi dek kerana sedikit pujian.
 Begitu juga dengan kita, kita akan kuat apabila dihina dan diberi  pelbagai tohmahan tetapi kita mudah terbuai dengan puji-pujian. Dalam  kehidupan ini, kita janganlah cepat lemah dengan kejian, dan cepat riak  dengan hanya sedikit pujian.Sebaliknya sentiasa bersyukur dan jadikan  setiap kejian, umpatan dan fitnah tersebut sebagai sumber kekuatan kita  untuk terus berjaya. Dan jika kita dipuji, janganlah pula berasa riak.  Sebaliknya kembalilah segala pujian tersebut kepada-Nya, kerana tanpa  keizinan-Nya tidak mungkin kita mampu memiliki apa yang kita usahakan.
Awal pujian adalah lembah kehinaan. Janganlah kita mudah terbuai dengan pujian yang diberikan, kelak kita yang akan binasa.

 
 
 
 
 
 
 
 
 





0 comments:
Post a Comment